KOTA BHARU: Polis selesai mengambil keterangan empat individu berhubung kes tembakan di Kampung Alor Pinggan di Gelang Mas, Pasir Mas, Ahad lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata motif kejadian masih disiasat bagaimanapun berdasarkan siasatan awal terdapat konflik antara suspek dan mangsa serta kedua-duanya saling mengenali.

"Polis juga tidak menolak kemungkinan kes ini mempunyai kaitan dengan pengedaran dadah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2023 peringkat kontinjen Kelantan, di sini hari ini.

Turut berkenan berangkat ke majlis itu ialah Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra dan Raja Perempuan Kelantan Tengku Anis Almarhum Tengku Abdul Hamid.

Pada masa yang sama Muhamad Zaki turut menyarankan dua suspek yang disyaki terlibat dalam kes itu untuk menyerah diri bagi membantu siasatan.

"Sekiranya mereka cuba keluar atau melarikan diri melalui sempadan negara (sempadan Malaysia-Thailand), polis Kelantan boleh meminta bantuan pihak berkuasa Thailand untuk bekerjasama dalam kes ini sekiranya perlu," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, dua suspek yang menaiki sebuah motosikal telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah sebuah rumah dan kenderaan mangsa di Kampung Alor Pinggan di Gelang Mas, Pasir Mas.

-- BERNAMA